Sejarah Abd Manaf bin Hj Salleh

SEJARAH HJ HAMDAN BIN ABDUL MANAF

Haji Hamdan bin Abd Manaf adalah anak yang kedua daripada 7 beradik. Bagaimanapun Hj Hamdan dianggap anak yang tertua disebabkan abangnya meninggal pada waktu kecil. Di kalangan adik beradiknya beliau dipanggil dengan panggilan "Angah". Di kalangan anak buah beliau, dia dipanggil "Pak Ngah" namun dari kalangan anak buah sebelah isterinya, Khadijah Abd Rahman, dia dipanggil "Pak Uwo". Ini disebabkan Hjh Khadijah dipanggil :Mak Uwo" oleh anak-anak buah beliau. Di kalangan rakan dan sahabat handai, beliau lebih dikenali sebagai Ustaz Hamdan kerana pendidikan agamanya serta pengabadiannya sebagai guru agama di kawasan Labu/Nilai. Beliau lahir pada tahun 1920 dan meninggal pada tahun Ogos 1988.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Hjh Khadijah Abd Rahman, mereka dianugerah 10 anak, namun 2 daripadanya meninggal sewaktu kecil. Maka tinggallah 8 daripada mereka iaitu Abdul Wahab, Abdul Aziz, Khairudin, Mohamad, Fatimah, Aminuddin, Maimunah dan Norbaidah.

Membesar di Kampung Pulau, Labu; belajar agama di Gunung Semanggol Perak, beliau telah menghabiskan sisa hidupnya di Kampung Jerengkang, Labu iaitu di atas tanah isterinya yang seluas tiga suku ekar. Di atas tanah itu beliau mendirikan rumah, serta menanam pokok buah2an dan juga pokok getah.

Pada awal kehidupannya berumah tangga, beliau membuat kerja kerja kampung. Kehidupannya sekeluarga agak sempit. Bagaimanapun sedikit demi sedikit kehidupan tersebut menjadi agak lapang apabila beliau menjawat jawatan guru agama dan seterusnya sebagai Guru Besar Sekolah Agama Labu di sekitar tahun 1960-an. Beliau amat berminat dengan perniagaan kedai runcit. Beberapa kali beliau membuka kedai runcit. Bagaimanapun perniagaan tersebut seringnya menemui kegagalan akibat terlalu ramai orang kampung yang berhutang dengannya. Beliau pernah membuka kedai runcit di Kampung Pulau, Di Kampung Jerengkang dan di Kampung Gadung.

Sebahagian besar usia dewasanya, pada setiap maghrib hingga isya` beliau mengajar agama di beberapa buah masjid kampung di sekitar Kg Pulau, Labu, Batu 8 , Jimah dan beberapa kawasan lagi. Beliau juga sering diminta membuat air penawar (air kelapa) untuk kanak-kanak yang demam. Selalu juga individu-individu tertentu menghantar kambing kepadanya untuk disembelih dan dagingnya diagih-agihkan kepada orang-orang kampung yang berhampiran.

Beliau mempunyai anak-anak yang cerdik, namun kekangan ekonomi menyebabkan anak-anak tersebut tidak dapat dihantar ke sekolah yang terkenal seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar. Hanya selepas ekonominya berkembang barulah beliau dapat menghantar anak-anaknya ke ITM (sekarang UiTM), UTM, Maktab Perguruan dan sebagainya.

Beliau dan isteri menunaikan haji pada akhir tahun 60-an dan meninggal dunia pada tahun 80-an, pada usia 63 tahun. Isterinya menurut jejak beiau dua tahun kemudian.

Di dalam arena politik, beliau adalah Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Rasah.